WANITA : INGAT ! HATI2 LAH KAMU

1. Urusan pertama yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajipannya atau tidak).

2. Apabila wanita itu lari dari rumah suaminya maka tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Nabi s.a.w., "Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia."

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yang halal nikah (kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tidak mengizinkan dia berpuasa.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, sama ada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa(kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat ke belakang lehernya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?" Jawab Nabi s.a.w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w.:

i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii. Sering mengkufurkan (ingkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya: Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apa pun.)

iv. Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya: Bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v. Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a.: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah:"

a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil

* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
* Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Karizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu:"

a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah SWT maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah SWT
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.
h. Ingat kepada mati.

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah:

a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain.
Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Memasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita:

a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.

CERPEN : KAU BUKAN UNTUKKU

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh! hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.

"Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis? Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham."

Qistina mengalih pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.

"Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________


 

Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung...hmmm.. Aliyah sayangkan Abang...

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, sebelum terlupa, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abang...

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai...air tangan Aliyah.

Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.


 

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!

CERPEN : KASIH DERU

" Dia hanyalah anak angkat adik Mak Long. Itulah istilah yang lebih lembut daripada anak pungut. Adik Mak Long tak pernah anggap dia anak pungut sebab adik Mak Long memang mahukan dia. Cuma emak kandungnya tak mahu beri dia pada adik Mak Long sekiranya tak diberi duit..."

Aku mengetap bibir. Ada simpati yang bertandang jauh di sudut hatiku.

" Mak dia cuma nak duit sebanyak RM500..." tambah Mak Longku lagi. Melongo aku memandang Mak Long. Meminta kepastian akan kebenaran itu. Takkan sekecil itu nilainya seorang bayi?

" Betul... Cuma RM500! Sebab dah terlalu kepingin nakkan anak, adik Mak Long tu ikut saja. Tapi di mata adik Mak Long tu, nilainya terlalu tinggi. Hampir 20 tahun, adik Mak Long bela dia. Tapi umur adik Mak Long tu tak panjang. Dan tak sampai sebulan adik Mak Long meninggal, suaminya nak kahwin baru.

Dia tak lagi dipedulikan. Dan dia juga tak mahu mak baru. Kebetulan, dia memang rapat dengan Mak Long. Sebab tu, mak Long bela dia sekarang ni. Lagipun, dia dah kerja. Dia cuma mahukan kasih sayang Mak Long. Itu saja..."

Bicaraku mati. Dan pandanganku lama singgah pada seraut wajah milik Idzrul Nadwan yang sedang bermain game yang terdapat dalam Nokia 3230 miliknya. Cerita ibu saudaraku tadi benar-benar melahirkan simpati dalam hatiku.

Tidak aku menyangka seraut wajah ceria yang menyambut kepulanganku lewat petang itu rupanya menyimpan seribu satu cerita duka. Tidak aku sedari kerana aku sendiri tidak pernah bertingkah bicara dengannya. Hanya senyuman yang menjadi penghubung antara kami bila saja pandangan kami bertaut.

Padanlah pandai benar dia membawa dirinya. Mungkin dia sedar akan siapa dirinya. Makannya tidak pernah berkira. Apa sahaja yang terhidang, itulah yang akan dijadikan pengalas perutnya.

Begitu juga tidurnya. Tiada rungutan bila sahaja bilik yang sebelum itu diduduki olehnya diambil alih olehku. Senang sahaja matanya terlelap walau sekadar berlapikkan sehelai tilam nipis dan sebiji bantal kabu juga sehelai selimut nipis di ruang tamu rumah kampung itu.

Teko berisi teh aku bawakan ke ruang makan. Lantas, aku menyusun beberapa cawan ke dalam dulang lalu menuangkan teh O panas itu ke dalamnya. Sedang aku leka dengan kerjaku, Idzrul Nadwan menghampiriku. Beg plastik merah berisi bungkusan nasi lemak diletakkan di atas meja.

Selepas itu, dia melangkah ke kabinet berisi pinggan lalu mencapai beberapa biji pinggan dan juga sudu. " Abang Wan beli apa?" soal Nazmir, anak bongsu Mak Long sambil melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Idzrul Nadwan.

" Hari ni, abang Wan beli nasi lemak sambal sotong. Alah, favourite Amir tu," ujarnya sambil membuka bungkusan nasi lemak lalu diberikan pada Nazmir. Hah! Nasi lemak sambal sotong! Alamak... mati aku. Mau bengkak satu badan ni.

" Kenapa wak?" soalnya padaku pula. Ni first time dia tegur aku. " Takde apa-apalah. Saya okay jer..." balasku menutup kelemahan diri. Ahh... lantaklah. Apa nak jadi, jadilah! Pantas aku mencapai bungkusan nasi lemak itu.

" Ehh... awak! Kan awak elergi sotong. Jangan la makan sambal sotong ni. Ni hah... saya dah belikan nasi lemak sambal ayam. Makan yang ni..." balasnya sambil menyerahkan bungkusan nasi lemak sambal ayam itu padaku. Eh... mana dia tahu aku ni elergi sotong. Apa dah dicop kat dahi aku ke?

" Mak Long bagi tahu ek?" serkapku pula. Dia tersenyum. " Buat penat jer kalau kak Leeya dok fikir hal tu. Abang Wan ni istimewa sikit. Dia boleh tahu apa yang boleh and tak boleh pada seseorang tu," sampuk Nazmir.

Hah! Biar betul?

" Kak Leeya tak percaya ke?"

Aku ragu-ragu untuk menjawab pertanyaan itu. Bimbang ianya akan menguris luka dalam hatinya. Dan tertanya-tanya juga aku, apakah ini anugerah Allah swt pada insan bernama Idzrul Nadwan? Insan yang nilainya hanyalah RM 500! Ya Allah... indahnya kurniaanMu ini.

Dalam kejutan, aku hadiahkan juga sekuntum senyuman untuknya. " Leeya nak ikut mak Long tak?" sapa mak Long yang datangnya entah dari mana.

" Ke mana?" soalku pula.

" Rumah Tok Teh kamu. Nak mengurut kakinya yang terseliuh tu..."

" Kalau tak ikut takpe ke?" balasku lambat-lambat.

" Ikut kamu la. Mak Long tak apa-apa. Lagipun, Nazmir dan Nazmirah pun ada kat rumah."

Aku tersenyum. Bukannya apa, aku cuma keletihan. Tiga hari di Pantai Teluk Cempedak membuatkan aku betul-betul penat. Penat menguruskan perkhemahan anjuran tempat kerjaku. Dan alang-alang dah sampai sini, aku sengaja singgah ke rumah Mak Long. Mahu menghilangkan lelah dan penat kerana cutiku masih berbaki tiga hari.

Pintu rumah kuselak perlahan. Tiada kelibat Idzrul Nadwan. Begitu juga dengan Nazmir dan Nazmirah. Pak Long dan mak Long pun tiada. Pantas, aku membawa pucuk paku yang kukutip berhampiran sungai ke dapur.

Membersihkannya dan seterusnya memotongnya untuk dibuat pucuk paku goreng belacan. Yang lainnya sudah tersedia. Masak lemak cili api dan juga ikan masak singgang untuk Nazmir.

Usai memasak, aku segera mengemas dapur. Namun, irama lagu My Heart dari telefon Nokia 3230 milikku membuatkan kakiku laju melangkah untuk mendapatkannya. Apa tidaknya... buah hatiku di hujung talian.

Sedang berbual di hujung talian, tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Aku segera minta diri dan memutuskan talian sebelum cepat-cepat membuka pintu. Namun, langkahku mati bila sahaja terpandang empat orang lelaki berkopiah putih. Bulat mataku bila saja terpandang kelibat Idzrul Nadwan di belakang mereka. Yang pasti reaksinya sepertiku jugak. Alamak! Bala apakah ini?

Desiran bayu laut menampar lembut pipiku. Mataku pula menyongsong ke arah laut. Sesaujana mata memandang. Dan pandanganku tertancap pada kelibat camar putih yang terbang sebebasnya. Serentak itu, mutiara jernih menitis perlahan di pipi gebu. Ya Allah, beratnya dugaanMu untuk kutempuh! Mataku terpejam rapat. Cuba menghentikan titis-titis hangat itu. Namun aku gagal. Yang ada dalam bayangan hanyalah wajah bengis ibu dan ayahku dan juga wajah sayu Mak Long.

" Sampai hati Leeya buat ibu dan ayah macam nie... Ibu percaya Leeya. Tapi Leeya dah musnahkan kepercayaan ibu. Ibu takkan percayakan Leeya lagi! Leeya dah lukakan hati ibu..."

Bait demi bait terdengar jelas di telingaku. Sungguh, peristiwa dua hari lepas masih menghantuiku. Dan hari ini aku di sini. Membawa sekeping hatiku yang luka. Sudahlah aku ditangkap dengan tuduhan berkhalwat. Kini, Azmir pula pergi meninggalkan aku. Arrggghh.. kenapa semua orang tak nak percayakan aku dan Nadwan. Sungguh! Kami tak buat apa-apa!

Masih jelas di mataku pandangan suram Nadwan ke arahku seusai saja kami dinikahi malam itu juga. Dan malam itu juga menjadi malam terakhir aku melihatnya bila aku bertindak membawa diri. Tak siapa tahu aku di sini baik Nadwan yang jelas telah menjadi suamiku sendiri. Cuma harapku agar dia mengerti tindakan aku ini. Aku perlukan masa untuk semua ini. Moga aku masih dalam redha seorang suami.

Namun, tepukan di bahuku mengejutkan aku. Pantas aku berpaling. Idzrul Nadwan! Benarkah dia?

" Kenapa muka Leeya macam tu? Terkejut tengok abang kat sini?" tegurnya perlahan. Mimik mukanya selamba saja. Aku mengangguk. " Errrm... boleh abang duduk sini?" pintanya lagi.

Aku memandang ruang kosong disebelahku. Dia suamiku dan dia ada hak untuk duduk di situ sekalipun tanpa keizinanku. " Duduklah... nie kan tempat awam."

" Memang tempat awam... tapi abang risau jugak. Maklumlah, yang kat sebelah abang nie perempuan. Manalah tahu kot-kot tak sudi ke... kang ada jugak mengamuk sebab pasal abang, buah hatinya lari," ujarnya dengan riak serupa. Apa maksud kata-katanya itu?

" Dah memang lari pun..." Entah dari mana kekuatan... lancar sahaja ayat itu kuatur. Riak wajahnya berubah. Dan aku pula kelu! Kesal dengan kelancangn mulutku. Aku tak patut berkata begitu.

" Maaf..."

" Bukan salah Leeya. Salah abang!"

Aku makin tak mengerti. Lantas wajahnya kupandang. Mengharap penjelasan yang pasti.

" Abang tahu Leeya ada kat rumah waktu tue... Cuma abang tak jangka yang dia akan buat abang macam nieh..."

Belum sempat dia menyudahkan bicara, amarahku kembali. " Dah tahu kenapa balik? Kenapa libatkan Leeya dalam hal nie?" marahku.

" Maaf... Kalau pada Leeya, ini adalah pemusnah kebahagiaan Leeya. Tapi pada abang... inilah permulaan kebahagiaan abang..."

Aku makin tak mengerti. Apa pulak yang dia mengarut nie...

" I love you since first time I see you!"

" Wan!"

" Abang tahu cara abang salah. Tapi satu jer yang abang nak Leeya tahu. Abang dah jelaskan segalanya pada ibu dan ayah. Mak long dan Pak Long jugak. Dan mereka dah terima penjelasan abang. Sebab tu abang ke sini... tengok Leeya dan kalau boleh abang nak bawak Leeya balik dengan abang. Tapi abang tak boleh paksa... terpulang pada Leeya. Take your time! Abang tahu susah untuk Leeya terima... Abang akan balik pagi esok. Check out pukul 9. Kalau Leeya rasa Leeya dah maafkan abang... Leeya tunggu abang kat lobi esok pagi. Maaf sebab abang ganggu Leeya. Abang balik dulu..."

Dari jauh aku memandang susuk tubuh lelaki itu dari jauh. Lantas aku larikan pandangan pada jam di tanganku. 10.10 pagi. Melihat dia masih di situ, aku semakin yakin dengan hatiku. Ya Allah, permudahkanlah jalanku.

" Assalamualaikum..."

Pandangannya jatuh ke wajahku lantas dia tersenyum. " Waalaikumsalam..."

" Kata check out jam 9... buat ape lagi kat sini?" tanyaku.

" Abang tahu Leeya tak akan biarkan abang balik seorang. Betul tak?"

Aku mula tak tentu arah.

" So... nak balik ke tak nie?" tanyaku kalut. Tanpa sedar aku telah tersilap bicara. Dan aku nampak segaris senyuman di bibirnya.

" Mestilah nak! Beg mana?" ujarnya dengan tawa. Aku ketap bibir. Geram dengan perlakuannya. Sengaja mahu mengundang merah di wajahku.

" Beg? Takde..." jawabku pendek.

" Marahkan abang... lari sehelai sepinggang jer ek..."

Aku tersipu malu. Pantas, dia mencapai tanganku lantas mengatur langkah menuju ke kereta. Dan aku pasti, langkahku kini membawa bahagia.


 

P/S : TQ FLY

JAFFAR BIN ABI TALIB

JAAFAR bin Abi Talib atau dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.

Beliau adalah seorang pemuda yang jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.

Jaafar memeluk Islam bersama-sama dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan bilakah penderitaan itu akan berakhir.

Mereka juga telah menyertai rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Muhammad, Abdullah dan Auf.

Selama berada di Habsyah, Jaafar menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.

Penghijrahan itu membuatkan puak Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.

Utusan puak Quraisy telah membawa banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum Muslimin tinggal di sana.

Najashi sebagai pemerintah telah mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.

Pada kesempatan itulah, puak Quraisy telah berkata: "Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak pernah kami kenali."

Najashi pun bertanya kepada kaum Muslimin: "Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?"

Jaafar pun bangkit berdiri dan menjawab dengan sopan serta lancar sekali.

Katanya: "Wahai paduka yang mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.

"Tetapi kini Allah SWT mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami berpindah ke negeri paduka."

Najashi pun bertanya lagi: "Apa pandangan kalian tentang Isa?"

Jaafar pun bangkit lagi: "Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya."

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.

Jaafar telah syahid ketika menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.

Ketika beliau syahid, terdapat lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.

Rasulullah menyifatkan kedudukan Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurga.


FITNAH ITU ….

Aspek komunikasi dan penyebaran maklumat bukan saja dilihat berlaku secara lisan, malah boleh disebarkan dengan cepat dan pantas secara maya (virtual) melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Penciptaan alat komunikasi secara maya ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan betul dan baik. Namun, ia menuntut suatu disiplin, tatacara dan tanggungjawab pengguna supaya kemajuan tidak disalahgunakan untuk menyebar perkara tidak benar atau palsu.

Tidak dinafikan peralatan canggih itu hari ini turut disalah guna bagi menyebar pelbagai maklumat palsu, sesat dan fitnah secara bebas tanpa ada rasa tanggungjawab. Tambahan pula, sukar sekali untuk mengesan pihak melakukannya.

Dilihat kesannya terhadap masyarakat, sama ada melalui perhubungan secara lisan atau saluran teknologi maklumat (IT), kedua-duanya sama tahapnya. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitulah juga melalui IT.

Untuk menilai kesahihan berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah SWT sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti dan menyelidik terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang fasik kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui internet.

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita disebarkan atau jangan terlalu cepat pula menafikannya sebelum membuat penelitian serta penyelidikan terhadap kebenaran berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Sebab penurunan ayat itu ada hubung kait dengan berita dibawa oleh al-Walid bin 'Uqbah bin Abu Mu'it. Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan daripada al-Harith bin Dirar al-Khuza'iy, yang berkata, "Aku bertemu Rasulullah SAW, Baginda mengajakku supaya memeluk agama Islam. Aku menerima ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu dengan memeluk agama Islam. Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama memeluk Islam dan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut itu."

Apabila al-Harith selesai memungut zakat dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid bin 'Uqbah bin Abu Mu'it kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat daripada mereka.

Dalam perjalanan menuju perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.

Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, "Kepada siapakah kamu semua diutuskan. Mereka menjawab: Kepadamu. Al-Harith bertanya lagi: Mengapa kamu diutuskan ke-padaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan al-Walid bin `Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: Tidak! demi Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang kepadaku."

Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku. Maka al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah al-Hujurat)." (Ibn Kathir)

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah (itu) adalah daripada syaitan." (Al-Tabariy).